
pakcik zulkifli noordin
Baru sebentar tadi saya dimaklumkan sahabat lama saya Sdr Khairil Anuar Ujang telah kembali kerahmatullah. Jenazah akan disolatkan di Bandar Country Homes Rawang dan disemadikan disitu insyallah.
Sdr Khairil adalah bekas Hakim Mahkamah Sesyen. Beliau juga adalah ahli Pertubuhan Al Arqam. Malahan Sdr Khairil adalah menantu kepada Abuya Sheikh Ashaari Muhammad, Syaikhul Al Arqam.
Semasa didalam Al Arqam, sdr Khairil memainkan peranan penting sebagai penasihat undang-undang kepada Abuya dan Al Arqam.
Malahan semasa tindakan dikenakan terhadap Al Arqam, sdr Khairil antara orang yang menemui saya meminta bantuan membela Al Arqam di Mahkamah. Memandangkan tiada siapa ketika itu berani tampil kedepan kerana rejim Mahathir sedang mengamuk menggunakan ISA terhadap mana-mana orang yang ada kaitan dengan Al Arqam, saya telah bersetuju mengambil kes Al Arqam. Saya telah memfailkan permohonan certiorari mencabar fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan Al Arqam. Akibat saman tersebut, pihak Pusat Islam menjadi kelam kabut kerana menyedari mereka tiada kuasa berbuat sedemikian.
Akhirnya mereka tidak menentang permohonan tersebut, sebaliknya sdr Khairil dan ramai pengikut Al arqam termasuk Abuya ditahan dibawah ISA.
Saya dan beberapa rakan lain yang bukan ahli Al Arqam turut ditahan untuk soal siasat.
Sdr Khairil adalah diantara empat tokoh Al Arqam yang diheret ke peti telivisyen dan dipaksa membuat pengakuan bertaubat dan menyesal menyertai Al Arqam.
Setelah dibebaskan, sdr Khairil antara tokoh yang memainkan peranan menjana semula kegiatan ekonomi dengan menubuhkan syarikat Rufaqa' Corporation yang berpusat di Bandar Country Homes Rawang.
Walaupun menghadapi banyak mehnah dan tohmahan, sdr Khairil terus beristiqomah dalam perjuangan beliau untuk membuktikan umat islam mampu berdiri sendiri dan bersaing dengan mana-mana pihak tanpa perlu kepada tongkat subsidi. Kini Rufaqa' Corporation berdiri megah dan mampu mengorak langkah sebagai flagship umat yang bebas dari sebarang cengkaman duniawi dan ideologi karat.
Ya ALLAH masukkan sahabat saya sdr Khairil didalam golongan soleh dan siddiqin dan menerima keampunan daripada Mu ya ALLAH,
Jauhkanlah ia dari siksa kubor dan api nerakaMu,
Lapangkanlah kubur ia,
Terangkanlah kubor ia,
Dan masukkan ia dalam syurgaMu,
Berilah kesabaran kepada keluarga beliau, dan rahmatilah merekan
Perkukohkanlah kedudukan kami, tetapkanlah hati kami dengan keimanan sebenar, dan anugerahkanlah kami istiqomah dalam perjuangan menegakkan aqidah dan syariatMu ya ALLAH.
Amin ya robbal alamin.




